‘Saya Bayi Umur 10 hari Yang Ditinggalkan Di Perhentian Bas 23 September 1996 Lalu’– Pemuda Ini Mencari Ibu Bapa Kandung

Seorang lelaki yang mencari ibu dan bapa kandungnya tular di laman sosial selepas dia memuat naik keratan akhbar mengenai dia yang pada masa itu berusia 10 hari ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996.

“Menitis air mata saya apabila mendapat tahu saya dijumpai di perhentian bas. Bagaimanapun, pasti ada sebab mengapa ibu bapa kandung saya buat begitu,” kata Mohamad Putera Zainuddin, 21 yang sedang menuntut di Kolej Perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Mohamad Putera, dia telah pergi ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan yang menjadi tempat tinggalnya sebelum dijaga oleh keluarga angkatnya pada Jun lalu selepas tergerak hati untuk menjejaki semula ibu dan bapa kandungnya.

“Keluarga angkat mengambil saya sebagai anak angkat sejak saya berusia sembilan bulan lagi. Ibu bapa angkat saya memang berterus-terang memberitahu saya adalah anak angkat sejak di tadika lagi

“Saya boleh menerima kenyataan itu,” katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga angkatnya itu.


Foto: Mohamad Putera bersama ibu angkatnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati lelaki yang dibesarkan di Muar, Johor ini, dia ingin mengetahui keadaan kedua ibu bapanya sama ada masih hidup.

“Saya kembali ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah untuk membuka semula fail saya bagi mendapatkan petunjuk lokasi tempat tinggal ibu bapa saya.

“Bagaimanapun, kakitangan rumah kanak-kanak itu hanya menyerahkan fail sebelum meminta saya baca sendiri,”katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.

Jelas Mohamad Putera, hatinya menjadi luluh selepas membaca keratan akhbar yang disimpan di dalam buku rekod berkenaan.

“Saya ingat akan jumpa keluarga kandung dengan mudah sebaik melihat rekod berkenaan, namun sangkaan saya meleset.

“Tak sangka, saya dijumpai di perhentian bas oleh seorang bidan kampung atau kini dikenali jururawat masyarakat ketika berusia 10 hari,” ujarnya.

Tidak pernah menyalahkan tindakan ibu dan bapa kandungnya itu, Mohamed Putera akan terus berusaha mencari mereka.

“Mereka (ibu bapa kandung) tinggalkan saya dapat keadaan baik, lengkap berselimut, sarung tangan serta sarung kaki bayi dan baju yang comel.

“Mesti mereka menantikan kelahiran saya dan pasti ada sebab mereka lakukan begitu,” katanya.

Mohamad Putera berkata, jika tidak dapat mencari ibu bapa kandung sekurang-kurangnya dia ingin bertemu dengan bidan kampung itu.

“Jika bukan kerana wanita itu jumpa saya, tidak tahu sama ada saya masih hidup atau tidak,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Artikel lain…

Bila Keputusan Peperiksaan Anak Tak Seperti Jangkaan, Mak Ayah Jangan Sentap Lebih

Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.

Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.

Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.

Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.

Saya Minta Anak Sulung Cerdas Dalam Pelajaran, Tapi..
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.

Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.

Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.

Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.

“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.

Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.

“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.

Kecewa Sampai Tak Mampu Pandang Wajah Anak
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.

Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.

Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.

Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:

i. Apa sebenarnya perasaan saya?
ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya?
iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan

Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.

Teralpa Dengan Qada Dan Qadar Tuhan
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.

Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.

Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.

Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”

Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.

5 Tip Ini Bantu Mak Ayah Lebih Bertenang Terima Keputusan Peperiksaan Anak
Sekadar ingatan untuk kita bersama,

i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.

ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.

iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.

iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.

v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.

Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.

In shaa allah! Anda mampu mengubahnya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *